Pages

Monday, September 20, 2010

ALLAHU AKBAR

ALLAHU AKBAR

Persembahan Tahniah
Ke hadapan
Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia
Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra
D.K., S.P.M.K.

Sempena Perlantikan dan Pemasyhuran Sebagai
Sultan Dan Yang Di Pertuan Negeri Kelantan Darul Naim
Serta Jajahan Takluknya

Yang Merafak Sembah dan Junjung Kasih

Daripada

PAS CAWANGAN BAKONG, PASIR MAS, KELANTAN

Tuesday, September 14, 2010

Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra dimasyhur Sultan Kelantan

Pemasyuran perlantikan itu dibacakan Menteri Besar Kelantan YAB Tuan Guru Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat menurut Perkara 29 (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan, Bahagian Kedua.

"Bismilhhari Rahmanir Rahim; maka dengan ini adalah diisytiharkan bagi pengetahuan orang ramai bahawa pada menjalankan kuasa-kuasa menurut Perkara 29 (a) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, Bahagian Yang Kedua, Majlis Perajaan Negeri Kelantan yang bermesyuarat pada hari ini (4 Syawal 1431 Hijriah bersamaan 13.9.2010, pukul 9.00 pagi) di Pejabat SUK, Kota Darunaim, Kota Bharu telah membuat keputusan bersetuju memilih, melantik dan mengesahkan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra Pemangku Raja Kelantan waris, menjadi Raja memerintah, menaiki takhta Negeri Kelantan dan Jajahan takluknya bagi menggantikan KDYMM Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra berkuatkuasa pada hari ini 4 Syawal 1431 Hijriah bersamaan dengan 13 September 2010.

"Padanya, sekalian hamba rakyat mengaku taat setia dan kasih mesra dan kepada Allah SWT Yang Maha Kuasa dipohon taufiq dan hidayah ke atasnya, semoga Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Kelantan Darulnaim dan seluruh jajahan takluknya memerintah di atas takhta Kerajaan Kelantan, dan memandu negeri dan rakyat sekalian merasa aman sentosa, mewah, makmur, kebajikan serta menaungi.," katanya.

Turut hadir Tengku Bendahara Kelantan Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, kerabat negeri, kepimpinan dan pegawai negeri.

Thursday, September 9, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI DAN MAAF ZAHIR BATIN..



Jemput ke majlis jamuan hari raya dirumah saya di Kampung Meranti, Pasir Mas.

Pada: 1 Syawal 1431/ 10 September 2010 jam 10.00 Pagi sehingga 5.00 Petang

Selamat pulang anak perantau dan wassalam

Dun Kelantan: Lawatan Adun Kelantan ke Sidang Parlimen

Speaker DUN Kelantan mengetuai lawatan ADUN Kelantan ke persidangan Parlimen 22-23 Mac 2010.

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Seramai tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan mengikuti persidangan Dewan Rakyat selama dua hari bermula hari ini.

Rombongan berkenaan diketuai Speaker DUN Kelantan merangkap ADUN Meranti, Ustaz Nasuruddin Haji Daud yang hadir bersama ADUN Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat dan ADUN Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mohamad.

Hadir sama bersama rombongan wakil rakyat hari ini ialah Setiausaha DUN Kelantan, Muhammed Imran Mansoor.

Persidangan Dewan Rakyat hari ini agak panas dan berlaku pertikaman lidah antara Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional berhubung dakwaan ucapan YB Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenao pembabitan syarikat Isreael, APCO Worldwide dengan Kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail mengadakan sidang media khas berhubung isu berkenaan di lobi Parlimen selepas persidangan sesi pagi berhenti rehat.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Pengerusi BBC Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat, Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamarudin Jaffar, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli, Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar, Ahli Parlimen Sik, Che Uda Che Nik dan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa.

Berehat di Pejabat Pembangkang selepas persidangan parlimen berhenti rehat.

MP Machang, Saifuddin Nasution Ismail mengadakan sidang akhbar di lobi parlimen bersama Naib-Naib Presiden PAS

Tuesday, June 22, 2010

Dun Kelantan lulus usul kutuk rejim zionis Israel

KOTA BHARU, 21 Jun: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan melulus usul mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim rejim zionis Israel menghalang misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Usul tersebut dibentangkan Adun Air Lanas, Abdullah Ya'kob yang disokong Adun Pengkalan Pasir, Hanifa Ahmad pada persidangan Dun Kelantan hari ini.

Speaker Dun, Datuk Nasaruddin Daud meluluskan usul itu untuk dibahaskan setelah mendapat sokongan semua Adun yang hadir.

Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mohmed merupakan anggota dewan pertama yang membahaskan usul berkenaan. Beliau begitu bersemangat.

Semua Adun memakai selendang Hamas sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin menentang rejim zionis Yahudi.

Usul tergempar tersebut dikemukakan selepas pihak kerajaan selesai menjawab soalan-soalan lisan pada
persidangan Dun pagi tadi.

Speaker meluluskan usul tersebut setelah mendapati ia menepati tiga kriteria iaitu perkara tertentu yang
mustahak, melibatkan kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

Ketika dikemukakan usul tersebut untuk mendopat sokongan, kesemua Adun yang hadir berdiri termasuk Datuk Nor Zahidi Omar (BN - Pengkalan Kubur) dan Datuk Aziz Derashid (BN - Kuala Balah).

Manakala Ketua Pembangkang, Datuk Alwi Che Ahmad hanya ada sekejap pada persidangan sebelah pagi. Tiga lagi Adun BN tidak kelihatan sejak pagi lagi.

Ketika membentang usul terbabit Abdullah yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan (BBC) berkata, kejadian yang berlaku pada 31 Mei lalu berjaya membuka mata dunia terhadap kerakusan Yahudi.

"Misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang disertai lebih 500 sekarelawan termasuk paderi Kristian dan
kanak-kanak dari 47 negara akhir Mei lalu dengan menaiki tujuh kapal telah dihalang dan diserang tentera Zionis.

"Akibat serangan tersebut menyebabkan sembilan sukarelawan Turki terbunuh dan 30 lagi aktivis cedera parah. Biar pun tentera Israel cuba membuat provokasi, namun aktivis kemanusiaan itu tidak melawan kerana mereka tiada sebarang senjata," katanya.

Beliau juga mencadangkan Dun Kelantan mendesak supaya dihentikan penaklukan Israel terhadap bumi Palestin, meminta Israel menghentikan projek pembinaan penempatan dan membebaskan Gaza daripada sekatan ekonomi.

Selain itu beliau juga mendesak kerajaan Malaysia mengiktiraf kerajaan Hamas di Palestin yang menang pada pilhan raya 2006 dan mencadangkan kerajaan Kelantan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza seperti dilakukan kerajaan Turki.

Dr Nik Mazian menyifatkan Gaza yang mempunyai penduduk seramai 1.4 juta orang sebagai penjara terbuka kerana kehidupan umat Islam begitu terseksa dengan sekatan ekonomi dilakukan Israel dan negara kuasa besar dunia.

Menurutnya Israel diwujudkan di bumi Palestin hasil usaha dilakukan Britain selepas menjajah negara
berkenaan pada 1917 setelah kejatuhan khalifah Othamaniah.

Kata beliau penduduk Israel biar pun kecil berbanding dengan jumlah rakyat negara-negara Arab, namun
pemerintah di teluk tiada kekuatan kerana mereka lebih pentingkan kedudukan peribadi serta mengumpul sebanyak mungkin harta.

Nor Zahidi pula mencadangkan Adun di Kelantan memberi sumbangan sebulan elaun pada Jun ini kepada tabung Palestin dan menghantar wakil rakyat bagi menyampaikan bantuan tersebut ke Gaza.

Abdul Latif Abdul Rahman (PAS - Mengkebang) berkata, tiga tempat suci dalam agama Islam yang mesti
dipertahankan iaitu Mekah, Madinah dan Masjidil Aqsa.

Katanya juga ketika parlimen Malaysia begitu lantang mengutuk keganasan tentera Israel baru-baru ini, dalam masa yang sama kerajaan membenarkan kapal dari negara Yahudi itu berlabuh di Pelabuhan Klang.

"Ini menggambarkan hubungan perdagangan di antara Malaysia dan Israel sudah lama berlaku secara senyap. Kalau benar kita prihatin terhadap nasib penduduk di Gaza sudah tentunya kapal dari Israel tidak dibenarkan berlabuh di sini," ujarnya.

Beliau juga mendesak kerajaan menghentikan serta merta perkhidmatan APCO Worldwide yang digunakan kerajaan bagi meningkatkan sistem telekomunikasi di Bukit Aman dan memulihkan imej perdana menteri.

Mohamad Mustapha (PAS - Demit) mahu gerakan memboikot barangan keluaran Yahudi dilakukan secara
sistematik dan perlu ada badan bagi memastikan usaha itu berterusan dilakukan.

Beliau juga mahu Datuk Seri Najib Razak berlaku adil terhadap Kelantan dengan menunaikan hak-hak ke atas royalti Petroleum seperti termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum.

Dr Mohd Daud Mohamad (PAS - Tendong) ketika bangun mencelah menanyakan adakah tindakan kerajaan pusat menyekat pembayaran royalti kepada Kelantan lebih kurang sama dengan tindakan Yahudi terhadap umat Islam di Gaza.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa semasa menggulung perbahasan usul terbabit berkata, kerajaan negeri sudah mewujudkan Tabung Cakna Palestin di mana sebanyak RM1 juta telah disumbang kepada mereka.

Selain itu kerajaan negeri menaja seramai 27 pelajar dari Palestin melanjut pelajaran di peringkat sarjana dan Phd di negara ini yang membabitkan peruntukan sebanyak RM324,000 setahun.

"Saya juga mencadangkan wakil rakyat di negeri ini mengambil anak angkat di kalangan anak-anak Palestin di Gaza dengan menyumbangkan bantuan secara bulanan kepada mereka.

"Kerajaan negeri turut menimbangkan cadangan bagi menaja sebuah kapal bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza bersama rombongan anggota-anggota parlimen dari Eropah pada Ramadan depan," katanya.

Usul mengutuk keganasan Israel kemudian dilulus dengan sokongan sebulat suara anggota Dewan.

Wednesday, March 31, 2010

Tok Guru MB dahului penerima kehormatan negeri oleh Pemangku Raja

Posted by admin on March 30th, 2010

KOTA BHARU, 30 Mac – Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat mendahului senarai darjah kebesaran negeri pada Istiadat Pengurniaan kehormatan Negeri Kelantan pagi ini.

Tuan guru Menteri Besar dianugerah gelaran Dato’ Bentara Setia oleh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra pada istiadat yang berlangsung di Istana Balai Besar di sini pagi ini.

Turut menerima anugerah tersebut Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria menerima Dato’ Lela Negara.

Manakala Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias dianugerahkan Dato’ Sri Setia Raja.

Sementara anugerah Darjah-Darjah Kebesaran Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K.), mendahului senarai penerima ialah isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor diikuti Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.

Mendahului senarai penerima anugerah Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.J.M.K.) ialah Datuk Tengku Salwani Al-Marhum Sultan Yahya Petra, diikuti Dato’ Tengku Rozan Al-Marhum Sultan Yahya Petra dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan menerima Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.J.M.K.).

Anugerah gelaran Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (S.P.S.K.), mendahului senarai penerima ialah peguambela, Datuk Sukri Mohamed, diikuti Pengelola Istana DiRaja, Datuk Abdul Halim Hamad.

Manakala penerima Anugerah Geralaran Kebesaran Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (S.P.S.K.), mendahului senarai ialah Ketua Polis Kelantan, SAC I Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Penerima Anugerah Kebesaran bagi gelaran Darjah Pahlawan Yang Amat Gagah Perkasa (P.Y.G.P.) ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Anggota Exco kerajaan negeri, Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman mendahului senarai penerima anugerah Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D.J.M.K.).

Selain itu, Speaker Dewan Negeri Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud, bekas pegawai Yayasan Islam Kelantan, Nik Abdul Kadir Nik Mohamad, Adun Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar dan bekas Adun Banggol Judah, Yahya Othman.

Mudir Pondok Pasir Tumboh, Tuan Guru Hashim Abu Bakar menerima gelaran Ahli Yang Kehormat Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D.J.M.K.).

Penerima gelaran Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (D.P.S.K.) seramai 34 orang termasuk Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam, Ahmad Mahmood dan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Ismail Samah.

Selain itu, Pegawai Kewangan Negeri Kelantan, Mohd Faudzi Che Mamat dan Pengarah Pelajaran Negeri, Mohd Ghazali Abdul Rahman.

Manakala seramai 10 orang menerima pelantikan Jaksa Pendamai (J.P.) termasuk Adun Air Lanas, Abdullah Ya’kub.

Keseluruhan penganugerahan tersebut membabitkan penerima seramai 84 orang.

Sementara itu seramai 555 lagi akan menerima penganugerahan pada Majlis Pengurniaan Kehormatan Negeri bagi Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang-Bintang, Pingat-Pingat dan Surat-Surat Kepujiandian pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Tiga anggota Exco, Che Abdullah Mat Nawi, Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Wan Ubaidah Omar pula disenarai penerima Ahli Yang Ketiga (Taulan) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Mulia Amat Mulia (J.M.K).

Senarai penerima tersebut diumumkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Aiseri pada sidang media di Istana Balai Besar semalam.

“Istiadat penganugerahan kali ini bukan merupakan acara perayaan ulangtahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan.

“Ia adalah semata-mata merupakan anugerah daripada Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan kepada mereka yang telah diampuni perkenan oleh baginda sendiri,” katanya.

Saturday, January 9, 2010

Saya tak minat politik

Mutaakhirin ini, walaupun sudah berpuluh tahun perkara ini dibahaskan, dibalahkan dan diperdebatkan, namun masih ada yang tidak memahami, samada yang sememangnya tidak faham, tidak mahu ambil faham dan ada yang melihat ia sebagai sesuatu yg buruk, penuh sepak terajang, caci mencaci dan sebagainya.

Ini antara sebab apabila ditanyakan mengenai politik, spontan mereka akan menjawab saya tak minat politik. Apabila tidak minat, mereka ini melihat ia sebagai sesuatu yang tidak wajib diambil tahu dan tidak perlu diambil tahu kalau tiada minat, seolah-olah ia adalah suatu hobi sedangkan sebenarnya ia suatu tuntutan kewajipan ke atas individu yang mukallaf dalam memilih dan menentukan kepimpinan negara samada yang bakal naik itu pemimpin yang adil ataupun pemimpin yang zalim, samada negara itu diperintah mengikut kehendak Al-Quran atau tidak, ia adalah sebesar-besar urusan umat dan berdosa mengabaikannya.

Politik dengan Agama tidak dapat dipisahkan : Suatu Penjelasan
Politik dengan agama tidak dapat dipisah. Kalau kita baca Fatawa yang dikeluarkan oleh Prof.Dr.Syeikh Yusuf Qardhawi bahawa memisahkan agama islam daripada politik ini boleh menyebabkan seseorang itu rosak aqidah.

Parti politik juga tidak boleh dipisah dengan agama. Islam menggangap semua perkara ada kaitannya dengan agama. Makan minum ada kaitan dengan agama, bercakap ada kaitan dengan agama, memerintah ada kaitan dengan agama, parti ada kaitan dengan agama, berkahwin ada kaitan dengan agama. Cuba bagitahu apa perkara yang tidak ada kaitan dengan agama.

Politik dalam bahasa arab disebut Siasah. Dalam Al-Quran disebut, dalam Hadith disebut. Dalam ayat 30 Suratul Baqarah. Ayat 30 Allah Taala berfirman yang bermaksud “ Ingatlah ketika Tuhan kamu berfirman kepada para malaikat, sesungguhnya aku akan menjadikan seorang Khalifah di atas muka bumi “
Apa makna Khalifah ? Khalifah ataupun Khilafah. Makna Khalifah ditafsirkan oleh Para Ulama’, di antaranya Ibnu Khaldun menyebut dalam Kitabnya Al-Muqqadimah. Al-Imam Al-Mawardi, seorang Ulama besar dalam Mazhab Syafei menyebut dalam Kitabnya Al-Ahkam Al-Sultaniyah, makna Khalifah ialah Khilafatun Nubuwah, Fi Hirasati Deen, Wa Siasati Dunya Bih.

Makna Khalifah ialah Pengganti Nabi dari segi menjaga ugama dan memerintah dunia dengan agama, mentadbir dunia dengan agama.

Sekali lagi diulangi, politik ini disebut dalam Al-Quran dan disebut dalam Hadith Nabi.“ Bani Israil itu, yang menjadi pemimpin politik mereka ialah nabi-nabi mereka, apabila seseorang nabi itu wafat, Allah gantikan nabi yang lain, begitulah seterusnya, sehinggalah Allah mengutuskan Nabi Muhammad, Nabi akhir zaman, dia adalah Rasul dan dia adalah pemimpin negara. “

Petikan Ucapan ADUN Meranti, YB Ustaz Mohd Nassuruddin Haji Daud ( Sidang Dewan Negeri )