Pages

Friday, December 23, 2005

Adun Meranti belanja lebih RM10,000 bantu mangsa banjir

PASIR MAS, 22 Dis – Lebih 15 kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti yang ditenggelami banjir sejak tiga hari lalu, kini beransur surut.

Di antara kampung yang terlibat termasuk Meranti, Kenor, Siput, Tok Rusa, Kalong, Bakong, Kubang Pak Hitam, Kubang Binjai, Pohon Tanjung, Siram, Banggol, Jejawi, Lancang, Bukit Lata dan Jeram Perdah. Kesemua kampung tersebut terletak tidak jauh dari Sungai Golok. Lebih 1,000 rumah penduduk di kampung terbabit ditenggelami banjir, di mana kira-kira 200 mangsa banjir berpindah ke tempat pemindahan di Sekolah Menengah Meranti, Sekolah Kebangsaan Bakong dan Sekolah Menengah Ugama (Arab) Banggol.

Adun Meranti, Ustaz Nusuruddin Daud berkata, sebanyak 8,000 kilogram beras sudah diagih kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan terbabit.

"Saya menggunakan dua bot untuk mengagihkan bantuan beras kepada mangsa-mangsa banjir. Selain itu mereka turut diberi gula dan biskut. Lebih RM10,000 dibelanjakan bagi menyediakan bantuan tersebut menggunakan peruntukan sendiri," katanya di sini.

Kawasan Rantau Panjang merupakan kawasan yang terjejas teruk akibat banjir di Kelantan tahun ini. Ia berlaku akibat limpahan Sungai Golok. Begitu juga di Tumpat. Kampung-kampung tersebut terjejas teruk akibat banjir kerana kedudukannya terletak di tepi Sungai Golok.

Nusuruddin berkata, sebahagian besar kampung yang ditenggelami banjir di kawasan terbabit sudah dilawatinya bagi menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa.

"Saya keluar awal pagi dan balik sehingga larut malam bagi memastikan penduduk yang ditenggelami banjir tidak terputus bekalan makanan. Malah kerjasama penghulu membolehkan bantuan disampaikan secepat mungkin kepada mangsa.

"Selain menghantar bekalan beras, bot saya juga digunakan memindahkan mereka ke tempat yang lebih selamat. Saya juga merakamkan ucapan terima kasih di atas kerjasama pasukan tentera yang turut membantu," ujarnya. Rumah Adun berkenaan juga ditenggelami banjir. Beliau juga berkata, banyak ternakan milik penduduk juga mati akibat ditenggelami air bah.

Sebelum ini anggota Exco, Haji Husam Musa menyampaikan bantuan banjir kepada penduduk-penduduk yang terlibat dengan air bah di Sekolah Kebangsaan Gelang Mas.

Sementara itu, Adun Bukit Panau, Abdul Patah Mahmud turut turun padang membantu mangsa banjir di kawasan DUN terbabit yang melibatkan seramai 696 orang.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan Negeri turut bersama mangsa banjir sejak air bah melanda awal Disember lalu.

"Bantuan diberikan bagi mengurangkan sedikit bebanan kesusahan mereka," ujarnya. Di beberapa kampung di DUN Kemahang juga turut ditenggelami air bah, baru-baru ini.//Hrkh

No comments:

Post a Comment